Beck Depression Inventory II (BDI II) & Reynolds Adolescent Depression Scale (RADS)

Macam mana nak tahu tahap kesihatan mental kita terutamanya tahap kemurungan ??

Jom Kenali inventori yang boleh mengukur tahap kemurungan .. OPSS!!👂

Sebelum itu, ingin saya ingatkan bahawa inventori ini bukan lah satu cara untuk mendiagnosis seseorang mengalami masalah berkaitan kesihatan mental. Namun alat inventori ini hanyalah sebagai satu langkah pencegahan atau rawatan awal dalam mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental. Jika keputusan yang diperolehi berada di tahap sederhana sehingga teruk, anda di galakkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera di klinik kesihatan ataupun hospital berdekatan anda. 

Instrumen Beck Depression Inventory II (BDI II)

Inventori Beck Depresion Inventory II (BDI II) merupakan instrumen yang diasaskan oleh Aaron T Beck yang merupakan seorang ahli psikiatri pada tahun 1950-an. Dengan mengabungkan rawatan klinikal dan penyelidikan terhadap pesakitnya yang terdiri daripada lima orang anggota tentera yang mengalami masalah psikotik (tekanan yang terlampau) sehingga membunuh rakan sekerjanya dengan sengaja. Daripada penilaian yang dijalankan, beliau mendapati bahawa kebimbangan emosi perlu dinilai dengan lebih tepat. Oleh hal demikian, Dr.Beck meneruskan kajiannya dengan melihat secara klinikal tahap kemurungan seseorang individu dengan membangunkan item-item ujian yang khusus untuk mengukur jenis-jenis perasaan dan tingkahlaku semasa menjalankan proses intervensi denan pesakit-pesakit yang menerima rawatan dengannya.

BDI telah disemak dalam dua versi. Versi asal diterbitkan pada tahun 1961 dan kemudian disemak kembali pada tahun 1978 dikenali sebagai BDI-IA. Versi kedua bagi instrumen ini diterbitkan pada tahun 1996 dan dikenali sebagai BDI-II. BDI-II telah diterjemaahkan dalam pelbagai versi bahasa termasuklah dalam versi bahasa melayu. Kajian mengenai penyesuaian BDI ke dalam bahasa melayu dijalankan ke atas sekumpulan 1090 responden dalam empat kategori peserta iaitu pelajar, pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental, orang awam, dan pesakit yang mengalami masalah kesihatan fizikal (Firdaus Mukhtar dan Tian Ps Oei, 2008). Alat kajian ini sesuai digunakan ke atas remaja dan dewasa yang berusia 14 tahun dan keatas.

Skala Pemarkatan Instrumen BDI II 

BDI mempunyai 21 item jawapan aneka pilihan(MCQ) dengan penilaian likert 0-3. Setiap item dalam BDI diikuti dengan empat penyataan yang terdiri daripada penilaian likert 0 hingga 3. Responden diminta memilih penyataan yang bersesuaian dengan keadaan mereka dalam tempoh masa 2 minggu yang lepas. Skor O mewakili tiada gejala sama sekali manakala skor 3 menunjukkan gejala yang teruk. Cara pengiraan BDI II adalah dengan menjumlahkan kesemua 21 item yang telah dijawab. Oleh itu, merujuk kepada garis panduan yang digariskan dalam BDI, sesiapa yang mendapat markah 11 dan ke atas ditunjukkan sebagai mengalami gejala kemurungan (Sherina & Kaneson, 2003). Individu tersebut perlu mendapatkan rawatan untuk mengelakkan gejala menjadi semakin teruk (Jailani,2011).  Penerangan berkaitan julat markah bagi instrumen BDI II dijelaskan dalam jadual 1 berikut :-

Jadual 1: Julat Markah Instrumen BDI II

Nilai

Keterangan

1-10

Normal

11-16

Mengalami gangguan emosi yang sederhana (mild)

17-20

Mengalami kemurungan yang ringan (Boderline)

21-30

Mengalami kemurungan yang tidak keterlaluan (Moderate)

31-40

Mengalami kemurungan yang teruk (Severe)

40 – ke atas

Mengalami kemurungan yang sangat teruk (Extreme).


                 Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen BDI II

Inventori BDI II mempunyai kebolehpercayaan yang sangat tinggi, iaitu  0.92 berbanding edisi pertama iaitu 0.86 (Beck Depression Inventory II 1996). Dari segi concurrent validity, BDI II memperoleh korelasi sebanyak 0.65 di antara inventori ini dengan kadar kemurungan psikiatrik dalam sampel psychiatric inpatients and outpatients (Ponterrotto, Pace & Kavan,1989). Kebolehpercayaan konsistensi dalaman kajian ditentukan dengan menggunakan prosedur Cronbach Alpha. Koefisien Cronbach Alpha telah dikira berdasarkan dapatan ujian yang diambil oleh semua sampel dalam kajian. Koefisien Alpha yang diperoleh ialah 0.84.

Inventori Kemurungan Beck (BDI) telah terbukti mempunyai sifat psikometrik yang baik dalam populasi Barat dan bukan Barat sejak 40 tahun yang lalu. Kajian yang dijalankan oleh Firdaus Mokhtar dan Tian Ps Oie pada tahun 2010 telah melaporkan tentang sifat psikometrik BDI II versi melayu untuk digunakan  kepada penduduk di Malaysia. Seramai 1090 orang dalam empat sampel (pelajar, masyarakat umum, pesakit perubatan am dan pesakit dengan gangguna kemurungan) telah dijadikan responden dalam kajian tersebut. Konsistensi dalaman (Cronbach's α) antara= 0.71 hingga 0.91 dan kesahan BDI-Melayu adalah memuaskan. Ini membuktikan bahawa BDI II versi Melayu boleh digunakan sebagai instrumen untuk mengukur tahap kemurungan bagi penduduk di Malaysia.

Instrumen Reynolds Adolescent Depression Scale (RADS)

Instrumen Reynolds Adolescent Depression Scale (RADS) diterbitkan pada tahun 1987 oleh William M.Reynolds. Soal selidik RADS mempunyai 30 item dan menjadi satu ukuran untuk melihat tahap kemurungan dalam kalangan remaja (Archer & Newsom,2000). Kajian asal telah dijalankan terhadap 2460 orang remaja yang telah dikumpulkan pada awal hingga pertengahan 1980-an. Kerana penyelidikan semakin meluas dan penggunaan klinikal RADS yang telah menyokong kebolehpercayaan, kesahihan dan aplikasi klinikalnya, kandungan item RADS tidak diubah. Walaubagaimanapun, RADS-2 telah melakukan beberapa perubahan termasuk empat subskala yang menilai komponen bermakna bagi kemurungan remaja iaitu lanjutan julat umur termasuk 11 hingga 20 tahun, penyeragaman baru sampel iaitu 3300 yang mencerminkan banci AS tahun 2000, skor standard baharu (skor T) yang membantu dalam skor tafsiran dan membenarkan perbandingan merentas subskala dan potongan klinikal empirical skor baharu.

    30 item pada RADS-2 memberikan skor pada empat subskala yang terdiri daripada Mood Disforia (Dysphoric Mood), Anhedonia / Kesan Negatif (Anhedonia/Negative Affect), Penilaian Kendiri Negatif (Negative Self-Evaluation) dan Aduan Somatik (Somatic Complaints). Empat subskala RADS-2 membenarkan penilaian menyeluruh terhadap keterukan gejala kemurungan. Instrumen ini telah dialihkan dalam pelbagai bahasa termasuklah bahasa melayu. Digunakan kepada remaja yang berusia 19 tahun hingga 26 tahun.

Skala Pemarkatan Instrumen RADS 

RADS-2 boleh ditadbir secara individu atau dalam kumpulan dan memerlukan kira-kira 5 minit untuk mentadbir. RADS-2 boleh diberikan secara lisan kepada remaja yang mengalami masalah membaca atau kelewatan perkembangan. Item RADS-2 menggunakan format skala likert empat mata yang memerlukan remaja untuk menunjukkan sama ada item berkaitan gejala telah berlaku iaitu tidak pernah, hampir tidak pernah, kadang-kadang atau kebanyakkan masa. RADS-2 mempunyai 7 item skor terbalik yang ditulis dengan cara yang positif. Penggunaan item skor terbalik membolehkan untuk memeriksa aspek kesahan respons melalui corak pengesahan item. Semua item akan dijumlahkan untuk mendapatkan jumlah skor. Jumlah skor adalah antara 30 hingga 120, dengan skor cut-off untuk menentukan keterukan simptom kemurungan ditetapkan pada skor 77 ke atas. 

Kesahan dan KebolehPercayaan Instrumen RADS

Tahap kebolehpercayaan ketekalan dalam adalah baik dan tinggi. Pekali Cronbach Alpha bagi DM, AN, NS, dan SC masing-masing mencatat 0.82,0.60,0.75 dan 0.74 bagi pekali Cronbach Alpha dan 0.80,0.50, 0.64 dan 0.71 bagi pekali split-half. Sementara itu, kesahan convergent menunjukkan dimensi antara DM dengan NS dan SC mencatat pekali korelasi signifikan masing-masing bernilai r=0.75 dan r=0.63. Namun, dimensi antara AN dengan DM dan NS berkorelasi secara negatif. Kesimpulannya, instrument RADS-2 versi melayu mempunyai tahap kebolehpercayaan yang baik dan boleh digunakan bagi remaja yang berumur 19 tahun hingga 26 tahun bagi mengetahui dan mengukur simptom kemurungan. 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

INSTRUMEN BECK DEPRESSION INVENTORY II (BDI II) & REYNOLDS ADOLESCENT DEPRESSION SCALE (RADS)

Link bagi Instrumen Yang Berlainan